MICHIGAN: Seorang pelajar sekolah tinggi Michigan secara tidak sengaja meletupkan peranti yang mudah meledak semasa membawanya ke sekolah sehingga mencederakan dirinya dan empat rakan sekelas lain.
Lapor CNN, Pegawai dari Bahagian Polis Newaygo berkata, pihaknya bergegas ke sekolah yang terletak di barat Michigan selepas menerima laporan berlaku letupan dalam kelas.
Katanya, hasil penyiasatan awal mendapati peralatan tersebut dibawa oleh seorang pelajar berumur 16 tahun.
Pihak sekolah bergegas memindahkan pelajar ke garaj bas semasa pasukan kecemasan tiba di lokasi.
Sejurus itu, semua sekolah di Newaygo County diperintahkan ditutup menerusi pelan operasi kecemasan sehingga pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang ancaman terhadap pelajar.
Jurucakap Polis Michigan, Michelle Robinson berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati pelajar tersebut tiada sebarang niat buruk dan tidak merancang untuk meletupkan peralatan tersebut.
Jelasnya, pelajar itu dibawa ke hospital kerana mengalami beberapa kecederaan, sementara, empat mangsa lain dibawa ke hospital oleh ibu bapa mereka.
Guru kelas itu juga turut dibawa ke hospital kerana letupan itu mengeluarkan kepulan asap dan terdapat kebimbangan mengenai bahan kimia yang terkandung dalam peralatan tersebut.