VANCOUVER: Seorang lelaki yang menikam seorang wanita sehingga maut dan mengakibatkan enam individu lain cedera di perpustakaan Vancouver, Sabtu lalu, didakwa hari ini.
Lapor Reuters, Polis Diraja Vancouver Utara berkata, Yannick Bandaogo, 28, didakwa atas pertuduhan membunuh.
Jelasnya, motif serangan masih dalam siasatan dan tiada sebarang maklumat lanjut setakat ini.
Dalam kejadian minggu lalu, mangsa wanita berusia lewat 20an, manakala, enam individu lain yang cedera dibawa ke hospital selepas suspek menyerbu masuk ke dalam sebuah perpustakaan dan menikam orang ramai.
Jurucakap polis, Frank Jang berkata, suspek berusia 20an mempunyai rekod jenayah lampau.
Namun, motif serangan masih belum dikenal pasti.
Seorang saksi, Steve Mossop berkata, mereka ternampak seorang wanita berlumuran darah dan memberitahu dia ditikam sebelum melihat beberapa lagi mangsa terbaring kesakitan.
“Mangsa terdiri dari lelaki, wanita dan juga warga emas. Kejadian itu seperti sesiapa sahaja yang berada di laluan suspek, akan ditikam,” katanya.