VANCOUVER: Seorang wanita maut dan enam cedera selepas seorang lelaki menyerbu masuk ke dalam sebuah perpustakaan di sini dan menikam orang ramai.
Jurucakap polis, Frank Jang berkata, suspek sudah pun ditahan dan berusia 20-an, selain mempunyai rekod jenayah lampau.
Namun, motif serangan masih belum dikenal pasti.
Seorang saksi, Steve Mossop berkata, mereka ternampak seorang wanita berlumuran darah dan memberitahu dia ditikam sebelum melihat beberapa lagi mangsa terbaring kesakitan.
“Mangsa terdiri dari lelaki, wanita dan juga warga emas.
“Kejadian itu seperti sesiapa sahaja yang berada di laluan suspek, akan ditikam,” katanya. – AP