SINGAPURA: Seorang anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan merancang melakukan serangan pisau terhadap komuniti Yahudi di sebuah rumah ibadat di Waterloo Street.
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD), suspek, Amirull Ali, 20, turut merancang untuk pergi ke Gaza, Palestin bagi menyertai pergerakan Hamas dan menentang rejim Zionis.
Jelas ISD, Amirull menjadi taksub terhadap kesengsaraan yang dialami penduduk Palestin kerana ditindas Israel.
Dia ditahan pada 5 Februari lalu ketika menyertai Pasukan Bersenjata Singapura dan waran tahanan ISA dikeluarkan terhadapnya pada 5 Mac lepas.
Kes ini merupakan yang kedua membabitkan golongan muda ditahan di bawah ISA.
Pada Januari lalu, seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan kerana merancang menyerang dua masjid di Woodlands.
ISD menyifatkan rancangan Amirull sebagai ‘ancaman kepada keselamatan republik ini’.
“Suspek merancang rumah ibadat Yahudi Maghain Aboth Synagogue pada Sabtu lalu dengan menyasarkan sekurang-kurangnya tiga orang maut.
“Selepas memutuskan untuk menyerang menggunakan pisau, Amirull kemudiannya memuat naik gambar sistem vaskular manusia bagi mempelajari bagaimana untuk mempercepatkan kematian akibat pendarahan berlebihan,” jelas jabatan tersebut.
Antara Ogos dan awal Oktober 2019, Amirull membuat sekurang-kurangnya dua kunjungan di rumah ibadah tersebut dan mengenal pasti tempat untuk menyerang mangsanya ketika mereka keluar dari premis berkenaan. – AGENSI