LONDON: Lebih 300,000 orang mendaftar untuk menjadi antara lapan individu yang akan dipilih menyertai bilionair Jepun dalam misi mengelilingi bulan selama enam hari.
Lapor Daily Mail, Yusaku Maezawa yang merupakan pemilik gedung fesyen dalam talian, Zozo menawarkan peluang keemasan kepada orang ramai dari seluruh dunia yang berminat untuk menyertai misi dijadualkan pada 2023 dengan menggunakan roket SpaceX, Starship.
Daripada jumlah tersebut, dilaporkan beribu-ribu warga Britain juga mendaftar untuk mengambil bahagian dalam misi ini sekali gus menduduki tempat kelima dalam senarai negara terlibat.
Yusaku dalam satu ciapan di Twitter memberitahu, penduduk India yang paling banyak mendaftar untuk pertandingan misi enam hari itu, diikuti dengan Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Perancis.
Jelas bilionair itu, permohonan untuk menjadi anak kapal projek dearMoon akan dibuka sehingga 14 Mac ini.
Kata Yusaku, beliau membeli kesemua tempat duduk di dalam kapal angkasa tersebut.
“Saya mahu rakyat dari pelbagai latar belakang turut bersama menyertai misi tersebut,” kata bilionair berusia 45 tahun itu.
Proses senarai pendek permohonan itu dijangka siap pada 21 Mac ini selepas melalui ujian dan temuduga.
Selepas itu, temuduga terakhir dan saringan pemeriksaan kesihatan akan dijalankan pada Mei tahun depan sebelum lapan individu dipilih.
Yusaku sebelum ini mencari artis untuk menyertai misi berkenaan yang diumumkan pada September 2018.
Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk mencari individu daripada pelbagai latarbelakang dengan syarat bercita-cita tinggi dan mempunyai aspirasi sama menyokong anak kapal lain.
Difahamkan, Yusaku akan menaja lapan individu yang menyertai misi mengelilingi bulan itu.