MEKAH: Kerajaan Arab Saudi memaklumkan larangan berbuka puasa di Masjidilharam dan Masjid Nabawi serta aktiviti i’tikaaf iaitu amalan duduk di masjid untuk beribadah bagi tempoh tertentu akan dilanjutkan sepanjang Ramadan sebagai usaha mengekang Covid-19.
Lapor Saudi Gazette, perkara itu diumumkan oleh Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman al-Sudais dan beliau memaklumkan pihak berkuasa akan mengedarkan bungkusan juadah berbuka puasa serta sahur kepada jemaah di kedua-dua masjid tersebut.
Katanya, usaha memerangi ancaman Covid-19 masih menjadi keutamaan sepanjang Ramadan, selain menggalakkan pengunjung ke tanah suci untuk mengambil vaksin, menjaga jarak sosial dan sentiasa memakai pelitup muka.
“Kawasan mataf atau tawaf hanya dibuka untuk jemaah umrah dan sebanyak lima kawasan disediakan di dalam Masjidilharam untuk membolehkan orang ramai menunaikan solat.
“Penterjemah yang bertugas di Masjidilharam akan memberi garis panduan perkhidmatan dalam 23 bahasa, selain penterjemah bahasa isyarat akan disediakan untuk khutbah solat Jumaat,” katanya.
Sheikh al-Sudais memaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi juga akan menyediakan ruang solat dan tandas khas bagi kegunaan golongan yang memerlukan.