GENEVA: Laporan misi antarabangsa ke Wuhan bagi menyiasat asal usul Covid-19 dijangka diterbitkan minggu ini berikutan mendapat tekanan kuat daripada Amerika Syarikat (AS) dan China mengenai kandungannya.
Pandemik Covid-19 meragut 2.6 juta nyawa di seluruh dunia dan menjejaskan ekonomi global sejak kes pertama dilaporkan di China pada Disember 2019.
Laporan tersebut pada asalnya dijangka dikeluarkan pada dua peringkat iaitu ringkasan awal pada Februari lalu diikuti dengan teks penuh.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kedua-dua laporan itu kini akan dikeluarkan pada masa yang sama.
“Saya sedar banyak negara anggota tidak sabar untuk melihat laporan kajian bersama diketuai WHO berkaitan asal usul virus SARS-CoV-2, malah saya juga antara yang ingin tahu.
“Pasukan tersebut ketika ini sedang menyiapkan laporan akhir serta ringkasan berkenaan yang dijangka dikeluarkan secara serentak pada minggu ini.
“Apabila ia sudah siap, kami akan meminta pasukan pakar untuk berkongsi laporan dengan negara anggota lain sebelum didedahkan kepada umum,” katanya dalam satu ucapan kepada negara anggota agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jelas Ghebreyesus, pasukan pakar penyelidik juga akan menjelaskan secara terperinci kepada negara anggota itu mengenai penemuan mereka.
Kes pertama Covid-19 dikesan di Wuhan pada Disember 2019.
Siasatan antarabangsa di Wuhan yang bermula pada Januari lalu, sudah berakhir pada bulan lalu.
Sebuah pasukan pakar saintifik antarabangsa menghabiskan masa hampir sebulan di Wuhan dengan melawat lokasi yang dikaitkan dengan kes jangkitan awal.
Pakar percaya virus itu berasal daripada kelawar dan menular ke manusia melalui mamalia lain.
Meskipun misi ke Wuhan gagal mengenal pasti sumber virus itu, pakar menjelaskan penelitian mereka tidak sama sekali berdasarkan teori virus itu tercetus dari makmal virologi di bandar itu sebelum meninggalkan China.
Bagaimanapun, Ghebreyesus berkata, semua hipotesis masih diteliti yang memerlukan analisis serta kajian lanjut. -AFP