LONDON: Pengetua sebuah sekolah di Yorkshire, England memohon maaf kepada golongan ibu bapa yang tidak berpuas hati selepas seorang guru menggunakan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai bahan pembelajaran.
Lapor Arab News, kejadian itu berlaku di Sekolah Tatabahasa Batley dan guru berkenaan dilaporkan menggunakan gambar karikatur Nabi Muhammad yang pernah disiarkan dalam akhbar Charlie Hebdo ketika mengajar kelas agama pada awal minggu ini.
Menerusi satu emel, pengetua sekolah tersebut, Gary Kibble mengakui guru berkenaan menggunakan bahan pembelajaran yang tidak sepatutnya dan boleh mencetuskan sensitiviti yang berat dalam kalangan komuniti di sekolah berkenaan.
“Sehubungan itu, kami amat menyesali dengan insiden yang berlaku dan kami memohon maaf kepada semua pihak,” kata Kibble.
Terdahulu, kumpulan ibu bapa melancarkan protes dalam media sosial selepas mengetahui karikatur tersebut ditunjukkan kepada para pelajar semasa sesi pembelajaran.
Kumpulan ibu bapa juga melancarkan protes di sekolah menyebabkan sesi persekolahan tertangguh dan polis dipanggil bagi meredakan keadaan.
Akhbar tempatan, Examiner Live melaporkan, guru terbabit sudah digantung perkhidmatan, namun belum disahkan oleh pihak sekolah.