SYDNEY: Seorang wanita warga Australia berkongsi beberapa gambar di laman Facebook yang memaparkan seekor kupu-kupu gergasi yang ditemukan di luar Brisbane.
Lapor Oddity Central, Pam Taylor memuat naik gambar pertama serangga gergasi itu dalam kumpulan Amateur Entomology Australia pada 23 Februari lalu.
Gambar itu menunjukkan seekor kupu-kupu besar berwarna kelabu bertenggek atas dahan pokok.
Wanita itu juga mengambil gambar serangga itu bersebelahan dengan telapak tangannya bagi menunjukkan betapa besarnya saiz kupu-kupu tersebut.
Gambar tersebut menarik perhatian ramai ahli entomologi amatur yang sebahagian besar mengenali serangga itu sebagai Endoxyla Cinereus atau Giant Wood Moth.
Ia merupakan spesies kupu-kupu paling berat di dunia dengan sebilangan spesimen boleh mencecah hingga 30 gram dan memiliki sayap lebar sehingga 25 sentimeter.
Jelas Taylor, dia mendapat tahu bahawa serangga unik itu juga dikenali sebagai `kupu-kupu ribut’ atau `kupu-kupu hujan’.
Kupu-kupu Endoxyla Cinereus biasanya ditemui di kawasan pesisir Australia walaupun serangga gergasi yang ditemui Taylor jarang berlaku.