JAKARTA: Nasib malang menimpa pasangan pengantin apabila khemah yang dipasang roboh selepas dilanda hujan disertai angin kencang di Kampung Tellu Siattinge, Sulawesi Selatan sejam sebelum majlis bermula.
Lapor Tribunnews, khemah yang dipasang di padang bola itu runtuh menimpa kerusi yang diletakkan untuk tetamu.
Mengikut perancangan, kedua mempelai akan duduk sebagai raja sehari di khemah tersebut selepas upacara pernikahan pada pukul 2 petang.
Seorang penduduk, Musfira berkata, upacara pernikahan tetap berlangsung seperti biasa walaupun khemah tersebut hancur.
Beberapa orang yang berada dalam khemah tersebut sempat menyelamatkan diri sebelum khemah itu tumbang.
Namun, makanan dan minuman yang sudah tersedia jatuh berselerakan akibat ditimpa khemah tersebut dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengantin perempuan, Nur Yesi Safitri, 19, dipinang oleh jejaka berusia 24 tahun, Muhammad Yusuf yang bekerja sebagai pekerja syarikat perlombongan di Masamba dan kedua-dua pasangan itu berasal dari kampung yang sama.