MINNESOTA: Dalam tempoh kurang setahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik Covid-19, sudah terdapat 10 vaksin berbeza diluluskan bagi kegunaan pelbagai negara di seluruh dunia.
Namun, vaksin hanya berkesan sekiranya semua penduduk di dunia menerima suntikan tersebut.
Kebanyakan negara di belah utara dalam peta global bakal menerima vaksin secara meluas sehingga hujung tahun ini, sedangkan negara berpendapatan sederhana dan rendah mungkin tidak menerima akses terhadap vaksin sehingga 2024.
Negara Asia ketinggalan
Kebanyakan negara Asia belum memulakan program vaksinasi terhadap penduduk mereka, besar kemungkinan disebabkan kemampuan penghasilan vaksin yang terhad, cabaran logistik serta kelewatan peraturan.
Malah, faktor itu didorong oleh kelewatan program pelancaran vaksinasi yang mengancam kejayaan awal membendung penularan wabak itu.
Sedangkan, sudah terdapat usaha meningkatkan akses vaksin Covid-19 di seluruh Asia dengan dua daripadanya memerlukan perhatian khusus.
Pertama ialah COVAX yang merupakan perkongsian bersama antara WHO, Pakatan Vaksin Global (GAVI) dan Gabungan Bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI).
Matlamatnya membangunkan, membeli dan membekalkan vaksin Covid-19 bagi pembekalan akses sama rata, dengan sasaran vaksin 1.8 bilion penduduk iaitu bersamaan 20 peratus populasi di negara berpendapatan rendah.
Menerusi pelan itu, negara Asia Tenggara perlu menerima dos vaksin sebanyak 695 juta sehingga hujung tahun ini, meliputi separuh populasi rantau itu.
COVAX mewakili kerjasama global bagi menentang pemilikan vaksin terhadap negara tertentu dan meluaskan ketersediaan vaksin.
Sekiranya masih ada negara di dunia yang tidak mendapat akses vaksin Covid-19, pandemik akan terus mengancam nyawa manusia.
Cabaran COVAX
COVAX berdepan tiga cabaran serius yang menyebabkan keberkesanannya terbatas di negara Asia.
Pertama, kekurangan sumber kewangan. Setakat ini, COVAX berjaya mengumpulkan AS$6 bilion (RM24.3 bilion), sedangkan pemimpinnya menyasarkan keperluan AS$2 bilion (RM8 bilion) lagi bagi memenuhi sasaran tersebut.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan sumbangan sebanyak AS$4bilion (RM16 bilion) kepada COVAX sekali gus memberikan dorongan yang ketara terhadap inisiatif tersebut.
Kedua, inisiatif itu perlu mengatasi masalah serius logistik, memindahkan dos dengan cepat, menjaga keperluan penyimpanan ruangan sejuk, melatih petugas kesihatan mencukupi bagi menguruskan vaksin dan melaksanakan kempen maklumat awam.
Akhir sekali, beberapa negara kaya melakukan rundingan menerusi perjanjian tersendiri dengan pembekal vaksin yang menyebabkan berlaku pemotongan giliran kerana membayar lebih daripada harga asal.
Dengan melakukan sedemikian, mereka memintas COVAX dan menyebabkan negara lain perlu menambah tempoh menunggu bagi menantikan vaksin tersebut. – AGENSI