SINGAPURA: Pengunjung pusat beli belah terpaksa dipindahkan dari Chinatown Point awal pagi tadi selepas sebuah kedai berdekatan pintu masuk utama pusat beli belah itu terbakar.
Lapor Channel News Asia, api dapat dilihat di sebalik gelas kaca premis Luxury City yang merupakan kedai beg tangan berjenama mewah.
Pengawal keselamatan mengawal pusat beli belah itu dan menghalang orang ramai daripada memasuki pintu masuk dan stesen MRT Chinatown.
Asap putih memenuhi sebahagian ruang di tingkat pertama pusat beli belah tersebut.
Bunyi kuat kedengaran pada pukul 10.30 pagi dan dua rekahan panjang dapat dilihat pada panel kaca di hadapan kedai beg tangan itu.
Selepas mendengar bunyi itu, kakitangan pusat beli belah memindahkan sekatan logam dari restoran McDonald’s yang berdekatan untuk mengelakkan pejalan laki berada terlalu dekat dengan kaca tersebut dan memberi amaran ia boleh meletup.
Berpuluh-puluh orang dan pekerja pusat beli belah dilihat sedang menunggu di kaki lima di sepanjang New Bridge Road semasa insiden itu.
Beberapa pengunjung dilihat membawa sarapan mereka, sementara seorang wanita dilihat dengan rambut yang masih basah dan tuala di bahunya.
Anggota Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya dikejutkan dengan kebakaran itu pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, kebakaran itu melibatkan sebuah papan tanda di kedai yang terletak di tingkat satu dan dipadamkan oleh sistem percikan air sebelum anggota SCDF tiba.
Kira-kira 100 pengunjung dan pemilik kedai dipindahkan, sementara seorang pengunjung dibawa ke Hospital Awam Singapura kerana tersedut bau asap.
Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan oleh masalah pendawaian eletrik.