YANGON: Junta tentera Myanmar menyalahkan penunjuk perasaan berhubung kebakaran dan keganasan yang terjadi, selepas negara Barat mengenakan lebih banyak sekatan terhadap individu serta kumpulan dari negara itu.
Jurucakap junta, Zaw Min Tun berkata, seramai 164 peserta protes terbunuh dalam kekerasan itu dan menzahirkan kesedihan atas kematian tersebut, lapor Channel News Asia.
“Mereka juga adalah rakyat kita,” katanya dalam sidang akhbar di Naypyitaw hari ini.
Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) berkata, sekurang-kurangnya 261 individu terbunuh dalam pertempuran dengan anggota keselamatan.
Seramai tiga individu terbunuh di bandar kedua terbesar di Myanmar, Mandalay termasuk seroang remaja.
Agensi berita melaporkan, anggota keselamatan melakukan lebih banyak serbuan di beberapa kawasan di Yangon dengan melepaskan tembakan pada Isnin malam sehingga menyebabkan beberapa orang tercedera.
PIHAK polis menahan seorang lelaki di Taunggyi di bandar Shan semasa protes menentang rampasan junta tentera Myanmar. -AFP