JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memutuskan menarik balik kebenaran Peraturan Presiden (Perpres) berhubung pembukaan perniagaan baharu dalam industri minuman keras yang mengandungi alkohol.
Lapor Tribunnews, perkara itu disampaikan oleh presiden menerusi sidang akhbar secara maya yang disiarkan dalam You Tube Sekretariat Presiden.
“Saya putuskan lampiran Perpres berhubung pembukaan perniagaan baharu dalam industri minuman keras yang mengandungi alkohol ditarik balik,” katanya.
Peraturan mengenai perniagaan alkohol terkandung dalam Perpres Nombor 10 2021 tentang Bidang Perniagaan Pelaburan.
Jokowi sebelum ini, memberikan kebenaran pembukaan industri minuman keras atau beralkohol dari skala besar hingga kecil dengan syarat hanya dilakukan di daerah tertentu.
Peraturan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan daripada organisasi kemasyarakatan (Ormas) Islam.
Keputusan tersebut, kata Jokowi, diambil setelah menerima input dan pandangan daripada ulama seperti Majelis Ulama Indonesia (MUI), Nahdatul Ulama , Muhammadiyah serta Ormas Islam.
Sebelum ini, Ketua Bidang Fatwa MUI, Asrorun Niam Sholeh meminta pihak pemerintah menarik balik peraturan mengenai pembukaan perniagaan minuman keras.
Jelasnya, desakan MUI itu berlandaskan usaha menciptakan ketertiban dan kesejahteraan masyarakat.