LONDON: Setahun yang lalu, United Kingdom (UK) dikenakan perintah berkurung pertama susulan pandemik Covid-19.
Menurut kumpulan penasihat End the Virus Racism yang berpangkalan di sini, terdapat peningkatan sebanyak 300 peratus dalam jenayah kebencian melibatkan komuniti Asia di UK sejak pandemik bermula.
Keadaan diburukkan apabila satu dunia melaporkan wabak koronavirus berasal dari China, menyebabkan banyak restauran milik komuniti itu dirosakkan.
Penduduk turut memboikot perniagaan komuniti Cina di Chinatowns di sekitar UK.
Tidak cukup dengan itu, penduduk berketurunan Asia diserang di jalanan, sekali gus menunjukkan betapa bencinya masyarakat Barat terhadap komuniti tersebut.
Kenyataan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini yang menyifatkan koronavirus sebagai ‘virus China’ dan ‘China yang memulakan semua masalah ini’ dilihat menyemarakkan lagi jenayah kebencian terhadap orang Asia.
Banyak kumpulan pemantau menyifatkan insiden tembakan di Atlanta yang meragut lapan nyawa dengan enam daripadanya merupakan wanita Asia sebagai ‘kepincangan legasi Asia di dunia’.
Malah, ahli politik UK juga semakin berani menyuarakan kritikan perkauman terhadap rakan sejawat sendiri.
Contohnya, Sarah Owen yang merupakan ahli Parlimen dari Parti Buruh menyifatkan dua ahli Parlimen berketurunan Cina sebagai ‘orang jahat’.
Berikut adalah pandangan beberapa penduduk dari komuniti Asia di UK berhubung isu berkenaan.
Saya tidak rasa selamat lagi
Peng Wang, 37, merupakan pensyarah pengurusan kewangan dan sebelum menetap di UK, beliau tinggal di Finland selama enam tahun.
“Penduduk Britain lebih ramah berbanding rakyat Finland, namun selepas Brexit dan pandemik Covid-19, keadaan menjadi semakin teruk.
“Saya pernah dijerkah seorang pemandu teksi ketika keluar bersenam pada Februari lalu,” katanya.
Wang menceritakan, pemandu teksi itu membuka tingkap dan menjerit ke arahnya ‘virus Cina!’
Pensyarah itu kemudiannya membalas balik jerkahan tersebut menyebabkan pemandu teksi itu berpatah balik dan menyerangnya.
“Isteri saya juga diganggu oleh seorang budak lelaki yang menunjukkan jari tengahnya ketika berbasikal.
“Saya tidak lagi rasa selamat berada di negara ini seperti mula-mula saya tiba di Britain,” ujarnya.
Saya rasa tidak diterima
Sepanjang membesar, Lisa Dang, 29, sering diingatkan oleh bapanya supaya rajin bekerja kerana mereka berasal dari Vietnam dan kini tinggal di tempat orang.
Namun, gadis itu menolak ‘nasihat’ bapanya kerana dia beranggapan Britain adalah rumahnya kerana di lahirkan di sini.
Kehidupan Dang berjalan lancar sehingga dia dan teman lelakinya yang berbangsa Cina dipanggil ‘Wuhan’ ketika memasuki sebuah kelab malam di Essex.
“Satu lagi insiden yang saya tidak lupakan apabila sekumpulan lelaki mengucapkan ‘Nihao! Konnichiwa’ kepada saya sambil segera memakai pelitup muka.
“Situasi itu amat mengecewakan saya. Saya tidak dialu-alukan ditempat kelahiran sendiri,” jelasnya.
Inilah yang dirasakan orang Islam
Seorang perunding, Daniel Ly sering berasa bimbang setiap kali keluarganya keluar pergi ke kedai atau ke mana sahaja kerana takut mereka diganggu oleh golongan rasis.
“Mungkin ini apa yang dirasakan dan dilalui oleh umat Islam sejak serangan 11 September 2001 apabila mereka sentiasa diperhatikan dan akan diganggu pada bila-bila masa, tidak kira tempat atau masa.
“Jenayah kebencian yang berlaku ketika ini hanya menyebabkan komuniti Asia terpinggir, rasa tidak berkeyakinan dengan diri sendiri dan lebih menakutkan, mereka akan menyesal dilahirkan sebagai berketurunan Asia,” katanya.
Tiada siapa akan lindungi kami
Jan Le yang merupakan gadis keturunan Vietnam berpendapat, pihak berkuasa termasuk ahli politik di negara ini sebenarnya tidak peduli langsung tentang komuniti Asia.
Sebaliknya, mereka juga bersikap perkauman dan mudah menjadikan sesuatu isu itu dikaitkan dengan komuniti berkenaan.
“Sepatutnya mereka (pihak berkuasa) lindungi semua penduduk tanpa mengira bangsa dan agama, namun itu hanya angan-angan,” ujarnya. – AGENSI