LONDON: Seorang wanita terkejut setelah mengetahui jam tangan jenama Rolex palsu yang dimilikinya bernilai 2,700 pound (RM15,256) kerana diperbuat daripada emas asli.
Lapor Daily Mail, jurusolek artis, Andrea dari Yorkshire muncul dalam episod kedua rancangan, Million Pound Pawn di ITV kerana mahu menjual tiga jam tangannya.
Andrea bertemu dengan pemilik kedai emas, London Road Jewellers & Pawnbrokers di Sheffield, Dan Hatfield untuk mengetahui jumlah wang akan ditawarkan bagi Rolex Daytona serta Rolex emas dan jam tangan poket, dua hadiah terakhir daripada mendiang ayah baptisnya.
Ibu kepada dua orang anak itu berharap dapat memperoleh 600 pound (RM3,390) daripada hasil jualan jam tangan tersebut bagi memulakan studio solekannya sendiri ketika sedang bergelut dengan kesusahan hidup akibat pandemik Covid-19.
Namun, Hatfield berkata, kedua-dua jam tangan milik Andrea yang didakwa Rolex sebenarnya adalah palsu.
Bagaimanapun, Hatfield memberitahu dia masih boleh menawarkan harga menarik untuk jam tangan emas itu kerana talinya diperbuat daripada emas asli.
Dia juga memaklumkan akan membeli jam tangan poket dan membayar Andrea sejumlah 5,500 pound (RM31,077) bagi kedua-dua barangan tersebut.
Menurut Andrea, dia membeli jam tangan Daytona palsu dalam satu jualan dengan harga 25 pound (RM141.26) dan tidak pasti sama ada ia asli atau tidak.
Hatfield memaklumkan bahawa jam tangan Daytona itu palsu kerana perkataan pada reka bentuknya tidak cukup tajam dan ringan, oleh itu tiada tawaran akan dibuat.
Namun, pemilik kedai itu berkata, dia akan membeli jam tangan Rolex palsu tersebut kerana diperbuat daripada emas asli.