JAKARTA: Identiti suspek pengganas yang ditembak mati di perkarangan ibu pejabat polis Indonesia di sini hari ini sudah dikenal pasti.
Lapor Tribunnews, suspek yang merupakan wanita dikenali dengan inisial ZA berusia 26 tahun.
Berdasarkan maklumat polis, suspek merupakan anak bongsu dari tiga beradik, menetap di Jakarta Timur dan belum berkahwin.
Ketika kejadian, suspek dilaporkan membawa sebuah peta berwarna kuning dan beg tangan berwarna hitam.
Suspek didakwa memasuki perkarangan ibu pejabat polis menerusi pintu pejalan kaki di bahagian belakang bangunan tersebut.
Selepas masuk, suspek menuju ke pintu utama dan menghampiri pos keselamatan.
Kira-kira pukul 4.30 waktu tempatan, suspek mengeluarkan senjata api dan melepaskan beberapa das tembakan.
Suspek turut didakwa mengacukan senjata api ke arah anggota polis yang berkawal dan berlaku aksi berbalas tembakan.
Saksi mendakwa terdengar bunyi tembakan sebanyak tujuh kali dan dipercayai satu daripada tembakan itu mengenai suspek.
Suspek dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke hospital.
Dalam pada itu, pasukan polis meningkatkan kawalan keselamatan termasuk di Istana Presiden dengan kawalan 24 jam.