HONG KONG: Hong Kong dan Macau hari ini menggantung penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan BioNTech selepas dimaklumkan terdapat masalah pembungkusan botol vaksin tersebut.
Kerajaan Hong Kong menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi membolehkan siasatan dilakukan sebelum vaksinasi disambung semula.
Kedua-dua wilayah itu dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh syarikat farmaseutikal Fosun yang bertanggungjawab mengedar vaksin Pfizer di China.
Namun, kedua-dua wilayah berkenaan tidak memaklumkan bagaimana masalah itu boleh berlaku.
Susulan langkah tersebut, terdapat beberapa pusat vaksinasi ditutup dan temu janji suntikan vaksin terpaksa dibatalkan. – AFP