MEDAN: Gunung Berapi Sinabung meletus dan menghamburkan debu panas kira-kira 5,000 meter ke udara hari ini.
Agensi vulkanologi merekodkan sebanyak 13 letupan berlaku ketika Sinabung memuntahkan debu panas.
Pihak berkuasa memaklumkan keadaan itu tidak membahaykan penduduk serta harta benda, selain tiada sebarang aktiviti dibenarkan dalam radius lima kilometer berhampiran gunung berapi tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Penduduk juga tidak menerima arahan pemindahan, selain jadual penerbangan turut berjalan lancar.
Namun, situasi itu masih dibimbangi penduduk tempatan yang sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Penduduk ketakutan kerana letusan kuat dan berbahaya boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Kami hanya duduk di dalam rumah kerana tidak mahu terdedah dengan debu gunung berapi,” kata seorang penduduk, Roy Bangun.
Pegawai pemantauan Sinabung, Muhammad Nurul Asrori menyifatkan debu panas yang dikeluarkan gunung tersebut hari ini merupakan paling besar dilihatnya sejak 2010.
“Bila-bila masa sahaja Sinabung boleh memuntahkan lahar panas yang memusnahkan apa sahaja di laluannya,” ujarnya. – AFP