YANGON: Kumpulan petugas perubatan termasuk doktor serta jururawat berhimpun dan berarak secara aman di sekitar jalan utama, sehari selepas satu lagi tunjuk perasaan ganas berlaku di negara ini.
Kumpulan petugas perubatan itu memakai topi keselamatan dan membawa poster pemimpin Aung San Suu Kyi yang digulingkan pada 1 Februari lalu.
Protes yang berlangsung di Mandalay iaitu bandar kedua terbesar di Myanmar itu diadakan pada waktu pagi bagi mengelak pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Semalam, empat penunjuk perasaan maut ditembak pasukan keselamatan dalam beberapa protes di seluruh negara.
Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), dua daripadanya maut di Yangon.
Badan pemantau itu memaklumkan jumlah kematian penunjuk perasaan direkodkan hampir 250 orang sejak Februari lalu dan lebih 2,300 ditahan. – AFP