JAKARTA: Seorang peniaga makanan terkejut selepas gerainya roboh ditimpa kaki dan paha manusia.
Lapor Tribunnews, kejadian yang berlaku di Jakarta Selatan itu menyebabkan peniaga gerai berkenaan, Siti Fatimah menjerit ketakutan.
Katanya, dia sedang menyiapkan makanan untuk pelanggan ketika gerainya tiba-tiba roboh.
“Saya berlari keluar dan ternampak potongan kaki serta paha manusia jatuh menimpa gerai saya.
“Ketika bahagian tubuh itu jatuh, terdengar bunyi kuat yang saya sangkakan adalah letupan,” katanya.
Menurut polis, potongan kaki dan paha tersebut adalah milik seorang lelaki yang terjun bunuh diri dari tingkat 23 sebuah kondominium.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan.
Polis dikerah ke lokasi kejadian dan menemukan beberapa bahagian tubuh lain seperti kepala dan tangan.
“Ketika terjun, badan mangsa terlanggar konkrit di tingkat enam menyebabkan tubuhnya terpecah dua,” kata jurucakap polis Jakarta Selatan, Yogen Heroes Baruno.