AUCKLAND: Satu gempa bumi kuat berukuran 7.3 skala Richter melanda New Zealand hari ini, sekali gus dikhuatiri bakal mencetuskan tsunami.
Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa tersebut berlaku di timur New Zealand Utara pada pukul 2.27 pagi waktu tempatan.
Sehubungan itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan kenyataan berhubung risiko tsunami dalam jarak kira-kira 300 kilometer dari pusat gempa.
Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan New Zealand menyatakan sebarang makluman akan dikemas kini segera, selain menasihatkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.
“Penduduk yang merasai gegaran kuat dan lama perlu bergerak ke kawasan tinggi secepat mungkin bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” jelas agensi tersebut. – AGENSI