BEIJING: Facebook mengambil tindakan membuang kumpulan penggodam China daripada laman sosial itu yang menyasarkan komuniti Uighur yang tinggal di luar negara.
Lapor BBC, sebanyak 100 akaun Facebook yang dibuat oleh kumpulan penggodam dikenali sebagai Earth Empusa atau Evil Eye dibuang.
Pihak Facebook juga menyasarkan sebanyak 500 akaun yang dibuat oleh penggodam untuk dimansuhkan.
Penggodam menggunakan laman web dan aplikasi berbahaya untuk menjangkiti peranti dan menyebabkan pengawasan jarak jauh dengan menyasarkan wartawan serta aktivis.
Sebilangan besar serangan siber tidak berlaku secara langsung dalam Facebook tetapi menggunakan platform media sosial untuk berkongsi pautan ke laman web yang dijangkiti.
Kejadian ini bukan kali pertama penggodam dituduh melakukan aktiviti tersebut.
Etnik Uighur berasal dari wilayah bara laut Xinjiang di China dan mereka yang menjadi sasaran kini menetap di Turki, Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.
Ketua Penyiasat Pengintipan Siber Facebook dan Ketua Polisi Keselamatan, Nathaniel Gleicher menerusi catatan dalam blog berkata, kegiatan itu mempunyai ciri-ciri operasi yang bersumber dan berterusan dengan mengaburi individu yang berada di belakang mereka.
Antara tindakan penggodaman yang dilakukan adalah mencipta aplikasi palsu bertemakan Uighur di aplikasi Android termasuk platform solat dan kamus.
Penggodam turut memuat naik status dalam Facebook dengan menyamar sebagai wartawan, pelajar, aktivis atau ahli komuniti Uighur untuk mewujudkan kepercayaan dan mempengaruhi mereka menekan pautan yang berbahaya.