Ever Given sekat Terusan Suez - Utusan Malaysia

Ever Given sekat Terusan Suez

Kapal MV Ever Given tersekat dalam kedudukan mengiring dan menghalang trafik di sepanjang Terusan Suez. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Sebuah kapal kontena melanggar tebing di Terusan Suez selepas dibadai angin kencang menyebabkan kapal itu terkeluar dari laluan asalnya, menyebabkan trafik marin terhenti di laluan perdagangan antara paling sibuk di dunia itu.

Sekeping gambar dimuat naik semalam menunjukkan kapal MV Ever Given milik Taiwan sepanjang 400 meter dan lebar 58 meter, tersekat dalam kedudukan mengiring dan menghalang trafik di sepanjang terusan itu.

“Kapal kontena itu secara tidak sengaja melanggar tebing, disyaki akibat dibadai angin kencang.

“Syarikat menggesa pemilik kapal untuk melaporkan punca kejadian dan sedang berbincang dengan pihak berkaitan, termasuk pihak berkuasa pengurusan terusan bagi membantu kapal itu secepat mungkin,” kata operator kapal, Evergreen Marine Corp hari ini.

Bloomberg melaporkan insiden itu menyebabkan kesesakan membabitkan lebih 100 kapal yang menjadikan terusan itu sebagai transit.

Pengguna Instagram, Julianne Cona, memuat naik gambar kapal yang tersekat itu daripada kapal Maersk Denver, yang berada di belakang Ever Given.

Laman sesawang perkapalan, Vessel Finder, memaklumkan kapal itu sedang menuju ke Rotterdam, Belanda, dan tidak pasti mengapa ia berhenti bergerak.

“Kapal tunda kini sedang berusaha untuk mengapungkan semula kapal berkenaan,” kata Leth Agencies, yang menyediakan khidmat melintasi Terusan Suez, di Twitter.

Terusan Suez yang dikorek lebih 150 tahun lalu, adalah antara laluan perdagangan paling penting di dunia dan menyediakan laluan untuk 10 peratus daripada keseluruhan perdagangan maritim antarabangsa.

Hampir 19,000 kapal menggunakan laluan itu sepanjang tahun lalu dan membawa kargo lebih satu bilion tan, menurut Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA).

Terusan berkenaan menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Mesir sejak beberapa tahun kebelakangan, dan negara itu memperoleh pendapatan AS$5.61 bilion (RM23.17 bilion) daripada terusan itu pada 2020 – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya