YANGON: Seorang kanak-kanak terselamat dalam serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Myanmar di sebuah perkampungan berhampiran kawasan sempadan negara ini kelmarin.
Tentera Myanmar melancarkan serangan udara buat kali pertama di negeri Karen dalam tempoh 20 tahun, beberapa jam selepas kumpulan militia menawan pos keselamatan junta.
Satu daripada serangan udara itu terkena pondok yang diduduki Saw Ta Eh Ka Lu Moo Taw bersama ibu bapanya di lembah Day Bu Doh
“Ketika kejadian, kanak-kanak itu duduk di atas riba bapanya dan serpihan ledakan bom mengenai bapanya menyebabkan lelaki itu meninggal dunia serta-merta.
“Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu mengalami kecederaan pada kepala dan leher, malah terdapat serpihan yang tertusuk pada tubuhnya,” kata David Eubank dari Free Burma Rangers.
Jelas beliau, susulan kejadian itu, kanak-kanak tersebut dikejarkan ke klinik kesihatan di kawasan terbabit.
Katanya, petugas perubatan akan cuba mengeluarkan serpihan yang tertusuk pada badan kanak-kanak itu menerusi pembedahan kecil.
“Kanak-kanak itu masih trauma dengan apa yang berlaku dan dia tahu bapanya sudah tiada,” ujar Eubank. – AFP