JAKARTA: Perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di Kepulauan Seribu pada 9 Januari lalu sudah ditemukan.
Lapor Kompas.com, Jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia, Adita Irawati mengesahkan penemuan tersebut dan memaklumkan pihak berkuasa akan mengadakan sidang akhbar dalam tempoh terdekat.
Katanya, sidang akhbar itu akan menjelaskan bagaimana CVR tersebut ditemukan serta lokasi penemuan.
CVR merupakan komponen penting untuk menyiasat punca nahas pesawat tersebut.
Pesawat Sriwijaya Air dengan nombor penerbangan SJ 182 terhempas ketika dalam perjalanan dari Jakarta ke Pontianak, menyaksikan kesemua 62 penumpang termasuk anak kapal terkorban.