NEW DELHI: Kerajaan India menggantung sementara semua eksport vaksin Covid-19 keluaran Oxford-AstraZeneca, kata sumber dari Kementerian Luar.
Lapor BBC, keputusan untuk menggantung sementara bekalan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh Serum Institute of India (SII) susulan negara republik itu kini berdepan dengan lonjakan kes Covid-19.
Jelasnya, peningkatan kes itu bermakna permintaan domestik untuk vaksin dijangka bertambah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Justeru, katanya, India memerlukan bekalan vaksin untuk program vaksinasi negaranya.
“Langkah menggantung eksport vaksin hanyalah untuk sementara waktu.
“Ini kerana kami harus mengutamakan permintaan domestik terlebih dahulu,” kata sumber itu.
Penggantungan sementara itu dijangka menjejaskan bekalan vaksin sehingga hujung bulan April.
Kira-kira 190 negara di bawah skim COVAX kemungkinan besar bakal terjejas.
COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa yang dipimpin oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyediakan bekalan vaksin Covid-19 untuk negara miskin dan berpendapatan rendah.
SII yang merupakan pengeluar vaksin terbesar di India dilaporkan menangguhkan penghantaran bekalan vaksin AstraZeneca ke beberapa negara termasuk United Kingdom (UK) dan Brazil.
Setakat ini, India telah mengeksport lebih 60 juta dos vaksin Covid-19 kepada 76 negara dengan majoritinya adalah vaksin keluaran Oxford-AstraZeneca.