ATHENS: Greece mengumumkan negaranya berkabung atas kematian seorang bayi lelaki berusia 37 hari akibat wabak Covid-19.
Bayi tersebut merupakan mangsa paling muda dalam kalangan kira-kira 6,800 orang yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19 di negara itu.
“Malangnya, kita mempunyai mangsa Covid-19 yang paling muda di negara ini.
“Bayi itu bertahan selama 17 hari melawan penyakit koronavirus sebelum menghembuskan nafas.
“Kesedihan yang tidak dapat diterima,” kata Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis dalam satu ciapan di Twitter.
Menurut Kementerian Kesihatan, bayi lelaki itu dibawa ke sebuah hospital kanak-kanak di Athens pada pertengahan bulan lalu apabila mengalami demam dan radang hidung.
Bayi itu diletakkan di bawah jagaan rawatan intensif sehari kemudian.
Bayi lelaki itu meninggal dunia pada Ahad lalu.
Hampir 6,800 orang dilaporkan meninggal dunia akibat virus itu di Greece manakala kira-kira 480 penduduk sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). – AFP