BRASILIA: Jumlah kematian akibat Covid-19 di Brazil melepasi angka 3,000 sehari buat pertama kali ketika negara ini berdepan dengan peningkatan kes jangkitan secara mendadak.
Kementerian Brazil merekodkan sebanyak 3,251 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban akibat koronavirus di negara ini adalah hampir 299,000 orang, sekali gus berada di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat (AS).
Jumlah baharu itu dicatatkan selepas Presiden Jair Bolsonaro melantik menteri kesihatan keempat negara ini sejak pandemik melanda setahun lalu.
Pakar kardiologi, Marcelo Queiroga, 55, dipilih menggantikan tempat Eduardo Pazuello selepas beliau dikritik hebat dalam urusan menangani krisis Covid-19.
Selain itu, bekalan oksigen untuk dibekalkan kepada pesakit juga dilaporkan semakin terhad dan keadaan itu membimbangkan banyak pihak.
Sebanyak enam daripada 27 negeri mempunyai bekalan oksigen yang sangat terhad.
Di Brasilia, lebih 400 pesakit menunggu giliran untuk memasuki unit rawatan rapi (ICU) susulan kapasiti hospital yang penuh. – AFP