PRAGUE: Individu paling kaya di Republik Czech dengan nilai harta mencecah AS$13 bilion (RM52 bilion) maut dalam nahas helikopter di Alaska.
Bilionair, Petr Kellner, 56, menguasai sektor kewangan, telekomunikasi, kejuruteraan dan Kumpulan Insurans PPF dengan jumlah pekerja seramai 94,000 orang seluruh dunia.
Jurucakap Kumpulan PPF, Jitka Tkadlecova memaklumkan tentang kejadian itu.
“Dengan rasa dukacita, kami memaklumkan pengasas Kumpulan PPF dan pemegang saham utama, Petr Kellner maut dalam nahas helikopter di Alaska pada Sabtu lalu.
“Punca kejadian yang turut mengorbankan lima individu lain masih dalam siasatan,”katanya.
Media Republik itu memaklumkan Kellner dalam perjalanan bermain ski.
Majalah Forbes mengisytiharkan kekayaan Kellner tahun lalu berjumlah AS$13.2 bilion (RM52.8 bilion).
Mendiang Kellner memulakan perniagaan menjual mesin fotostat dan mengasaskan Kumpulan PPF sejak 1991, iaitu dua tahun selepas kejatuhan Kerajaan Komunis.
Kumpulan itu memiliki aset global bernilai 44 bilion pound (RM220 bilion) merangkumi Home Credit International iaitu institusi bukan berasaskan perbankan terbesar yang memberikan pinjaman kepada penguna dengan aktiviti meluas dalam pasaran China.
Empayar itu turut membeli kumpulan media CME iaitu syarikat yang menjalankan operasi televisyen di tengah dan timur Eropah termasuk aset telekomunikasi Telenor di Balkans. -AFP