SINGAPURA: Insiden sebuah kapal kontena sepanjang 400 meter yang terkandas di Terusan Suez berkemungkinan menyebabkan bekalan barangan khususnya dari Eropah ke rantau ini terjejas buat sementara waktu.
Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung berkata, halangan yang berlanjutan itu menyebabkan beberapa pengeluaran inventori terjejas kerana insiden itu menghalang kapal daripada berlayar ke sekitar benua Afrika, Tanjung Harapan dan ke Asia.
Jelasnya, tempoh perjalanan akan bertambah antara seminggu atau dua minggu.
“Sekiranya gangguan itu berterusan, pengendali pelabuhan Singapura menjangka berlaku kelewatan selepas syarikat perkapalan mengubah jadual perjalanan kapal mereka.
“Mereka harus merancang lebih awal dan memastikan operasi tetap berjalan lancar,” katanya.
Kapal kontena itu tersadai akibat ribut sehingga menyebabkan kesesakan di laluan perdagangan perkapalan yang terpenting di dunia.
Terusan Suez menjadi laluan kepada kira-kira 10 peratus perdagangan antarabangsa.
Sementara itu, Reuters melaporkan, kadar penghantaran untuk kapal tangki produk minyak akan mengalami kenaikan dua kali ganda minggu ini.
Laluan sempit yang menghubungkan Eropah dan Asia turut menjejaskan masalah penghantaran yang menghadapi gangguan dan kelewatan membekalkan barangan runcit kepada pengguna.
Data penghantaran di Refinitiv, menunjukkan lebih 30 kapal tangki minyak menunggu di kedua-dua terusan itu untuk dilalui sejak Selasa lalu.