BEIJING: Ibu negara China diselimuti warna coklat pekat hari ini disebabkan angin kencang bertiup dari padang pasir Gobi dan bahagian barat laut.
Lapor Reuters, pakar meteorologi menyifatkan kejadian itu sebagai serangan ribut pasir terbesar sepanjang dekad.
Pentadbiran Meteorologi China mengumumkan amaran kuning awal pagi hari ini dan memaklumkan ribut pasir merebak dari Mongolia ke wilayah Gansu, Shanxi dan Hebei yang mengelilingi Beijing.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Mongolia turut dilanda ribut pasir yang menyebabkan 341 orang dilaporkan hilang.
Menurut pusat pemantauan alam sekitar, index kualiti udara rasmi Bejing mencecah paras maksimum 500 awal pagi tadi dengan zarah terapung yang dikenali sebagai PM10 meningkat melebihi 8,000 mikrogram per meter padu di beberapa daerah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan purata harian kepekatan PM10 tidak boleh melebihi 50 mikrogram.
Beijing menghadapi ribut pasir pada Mac dan April kerana berdekatan gurun Gobi yang besar serta disebabkan penebangan hutan dan hakisan tanah di seluruh utara China.
China berusaha melakukan penghutanan semula dan memulihkan ekologi wilayah tersebut untuk membendung ribut pasir yang bertiup ke ibu kota.
Beijing menanam pokok ‘dinding hijau besar’ untuk memerangkap debu yang masuk, dan berusaha membina koridor udara yang dapat menyalurkan angin serta membiarkan pasir dan pencemaran lain melalui lebih cepat.