GAZIENTEP (Turki): Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dalam beberapa siri serangan roket dan udara yang dilancarkan rejim Bashar al Assad dan sekutunya ke atas beberapa kawasan di utara Syria.
Dalam serangan pada pagi Ahad (21 Mac 2021) ke atas sebuah hospital di Atarib, ia telah meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa dan mencedera lebih 14 yang lain termasuk doktor dan jururawat.
Wanita dan kanak-kanak antara mereka yang terbunuh.
Ia kemudian disusuli dengan serangan roket darat ke darat yang dipercayai dilancarkan sekutunya, Rusia ke atas bandar Qah yang sesak dengan pelarian.
Pada sebelah petang, kawasan yang menempatkan kemudahan gas beserta lori tangki dan trak yang membawa pelbagai barangan berhampiran bandar Sarmada, di Bab al Hawa yang menjadi pintu masuk ke Reyhanli, Turki turut menjadi sasaran.
Letupan telah mengakibatkan kebakaran besar di kawasan berkenaan dan sehingga kini, sukarelawan White Helmets sedang bertungkus lumus untuk mengawal api dari merebak.