SYDNEY: Pihak berkuasa Australia merancang untuk memindahkan ribuan penduduk hari ini selepas banjir yang semakin teruk melanda sejak 60 tahun lalu.
Hujan yang tidak berhenti sejak tiga hari lalu menyebabkan air sungai semakin naik di New South Wales (NSW) sehingga menyebabkan kerosakan serta panggilan untuk pemindahan penduduk secara besar-besaran.
Perkhidmatan Kecemasan NSW menerusi ciapan dalam Twitter menjangka cuaca teruk akan berterusan sehingga Rabu ini.
Rakaman imej dalam media sosial menunjukkan air banjir menyebabkan rumah terpisah, manakala, kenderaan, haiwan ternakan, jalan, jambatan dan ladang digenangi air.
Pihaknya juga memaklumkan hampir 2,000 orang dipindahkan dari kawasan rendah.
Amaran banjir teruk turut dikeluarkan di sebahagian besar NSW termasuk kejiranan Queensland.
Perdana Menteri, Scott Morrison menyifatkan bencana itu sangat serius dengan ribut dan banjir yang melanda.
“Ini adalah sistem cuaca yang sangat kompleks, kita benar-benar diuji,” katanya.
Sydney semalam merekodkan hari paling basah tahun ini dengan hujan 111 milimiter (mm), dengan beberapa daerah di pantai timur NSW menerima hujan 900 mm enam hari lalu iaitu tiga kali ganda daripada purata taburan hujan pada bulan ini. -REUTERS