Ayam sabung ‘bunuh’ tuan di India - Utusan Malaysia

Ayam sabung ‘bunuh’ tuan di India

SEORANG lelaki maut selepas terkena pisau yang diikat pada bahagian kaki ayam sabungnya di Lothunur, India. - EPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seekor ayam jantan yang diikat pisau pada kakinya bagi digunakan dalam satu pertandingan sabung ayam haram di selatan India dilaporkan menyebabkan tuannya maut.

Menurut polis, ketika perlawanan hampir bermula, haiwan tersebut cuba melepaskan diri sehingga menyebabkan pisau yang diikat pada kakinya terkena pada bahagian pangkal paha pemiliknya. 

Lelaki itu dilaporkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak ketika dalam perjalanan ke hospital di Karimnagar, daerah Telangana, kata pegawai polis, B Jeevan.

Jelas Jeevan, mangsa merupakan antara 16 individu yang terlibat dalam penganjuran pertandingan sabung ayam haram di kampung Lothunur.

“Polis kini memburu 15 individu yang terlibat dalam penganjuran acara haram itu. 

“Kesemua individu yang terlibat bakal berdepan tuduhan membunuh, perjudian haram dan menganjurkan pertandingan sabung ayam,” katanya.

Pertandingan sabung ayam adalah dilarang namun masih diadakan di kawasan luar bandar, selain beribu-ribu ayam jantan mati setiap tahun akibat pertaruhan haram tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN