JAKARTA: Seorang pegawai polis yang hilang semasa bencana Tsunami di Aceh pada 2004, dilaporkan ditemui semula di Hospital Mental Banda Aceh.
Lapor Kompas.com, bagaimanapun, Polis Wilayah Aceh akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terlebih dahulu bagi mengesahkan laporan itu.
Ketua Perhubungan Awam Polis Aceh, Pol Winardy mengesahkan perkara itu dan pesakit tersebut akan menjalani ujian DNA, cap jari dan pengenalan tanda lahir.
Katanya, anggota polis yang dimaksudkan ialah Bharaka Zainal Abidin yang dikenali sebagai Asep.
“Kita sedang membuat penyelarasan dengan keluarga mangsa di Jawa Barat. Tiada keputusan yang boleh disimpulkan lagi dan kita sedang mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Berita Asep ditemui sebagai pesakit di hospital itu tersebar selepas dimuat naik pertama kali dalam media sosial.
Asep dikatakan menjadi pesakit sejak 2009 dan pernah berkunjung ke kampung Fajar untuk tinggal di sana, namun, tidak diterima oleh penduduk sehingga menyebabkan dia kembali semula ke hospital.
Mengimbas kembali peristiwa, Asep dilantik sebagai pembantu operasi keselamatan bagi Brimob Rejimen II Kedung Halang Bogor ke Polis Aceh.
Dia ditempatkan di Banda Aceh pada 2004 ketika masih terdapat saki baki kelompok Gerakan Aceh Merdeka (GAM).
Namun, ketika Tsunami melanda Aceh dan kawasan sekitarnya, Asep dilaporkan hilang.