JAWA: Sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang bapa, ibu dan anak mencipta kelainan apabila menjalani majlis konvokesyen serentak di Universiti Muhammadiyah Purwokerto, Banyumas, Jawa Tengah.
Lapor Kompas.com, majlis graduasi kali ke-66 itu diadakan secara dalam talian yang dihadiri oleh keluarga yang berasal dari Bumiayu, Brebes.
Pasangan suami isteri, Muhammad Daswalidin dan Heni Mei Deviyani serta anak sulungnya, Aniestria Aghnat berasa gembira kerana dapat menamatkan pengajian bersama.
“Alhamdulillah, hari ini kami boleh bergraduasi bersama bagi program pasca sarjana dan peringkat sarjana. Majlis berjalan baik dan lancar serta mematuhi protokol kesihatan secara sempurna.
“Kami bersyukur kepada Allah SWT kerana satu keluarga dapat memenuhi sasaran pendidikan yang diinginkan,” kata Daswalidin.
Daswalidin berjaya menamatkan pengajian Sarjana dalam Pengurusan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.7, isterinya yang mengambil Sarjana Pendidikan Dasar meraih CGPA 3.9, sementara anaknya meraih CGPA 3.17 dalam Ijazah Sarjana Farmasi.
Heni pula berasa gembira kerana berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun bersama suaminya, manakala, anaknya dalam masa empat tahun.