COX’S BAZAR: Seramai lima orang dikhuatiri mati manakala 20,000 etnik Rohingya terpaksa melarikan diri selepas kebakaran melanda kem pelarian di tenggara Bangladesh.
Kejadian terbaharu itu merupakan kebakaran ketiga yang melanda kawasan penempatan itu.
Hampir sejuta etnik minoriti Islam dari Myanmar terpaksa melarikan diri ke kem itu selepas penindasan dilakukan oleh pihak tentera Myanmar pada 2017.
Pihak berkuasa berkata, api mula kelihatan di salah satu daripada 34 kem itu sebelum merebak ke tiga kem lain.
Asap tebal dapat dilihat selain kedengaran suara teriakan orang ramai dalam video yang dikongsikan dalam media sosial.
Sementara itu, beratus-ratus anggota bomba berusaha memadamkan api serta membantu orang ramai berpindah ke kawasan selamat.
“Ini adalah kebakaran besar sehingga menyebabkan 20,000 orang berpindah disebabkan api sudah merebak pantas.
“Kami memadamkan api di satu tempat dan terus merebak ke tempat lain,” kata pentadbir Cox’s Bazar, Mamunur Rashid.
Video yang dirakam oleh seorang penduduk menunjukkan kebakaran melanda kem Balukhali di Cox’s Bazar dengan kelibat orang ramai berebut mendapatkan semula harta benda di kawasan khemah yang terbakar. -AGENSI