YANGON: Siri demonstrasi yang dilakukan di seluruh negara semalam disifatkan sebagai ‘paling teruk’ sepanjang krisis rampasan kuasa di Myanmar apabila sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keganasan di Myanmar terus berlaku biarpun kerajaan tentera diberi tekanan oleh antarabangsa.
Duta Myanmar ke PBB, Christine Schraner Burgener berkata, insiden itu menyaksikan lebih 50 penunjuk perasaan terkorban akibat terkena tembakan yang dilepaskan pasukan keselamatan sejak tentera mengambil alih semula pentadbiran kerajaan negara ini.
“Semalam sahaja seramai 38 orang terbunuh dan angka korban secara keseluruhan sudah pun melebihi 50 orang, selain ramai cedera.
“Insiden yang berlaku semalam merupakan yang paling teruk sejak tentera merampas kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Burgener mendesak supaya PBB mengambil langkah konkrit bagi mengawal keganasan tentera di negara ini, selain berikrar tidak akan berputus asa memperjuangkan kerajaan demokrasi untuk rakyat Myanmar. – AFP