20 cedera letupan di Makassar - Utusan Malaysia

20 cedera letupan di Makassar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 20 orang cedera dalam satu serangan pengebom bunuh diri di luar sebuah gereja Katolik di bandar Makassar hari ini.

Jurucakap polis Indonesia, Argo Yuwono dalam siang akhbar berkata, dua suspek pengebom didakwa terlibat dalam insiden tersebut.

“Mangsa mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian badan termasuk kaki dan leher, selain ada juga yang melecur.

“Ketika ini, dua pengebom disyaki merupakan lelaki dan wanita disahkan terkorban dalam kejadian tersebut,” katanya.

Selain itu, seorang daripada pengebom tersebut dikaitkan dengan kumpulan militan Jamaah Ansyarut Daulah (JAD) yang sebelum ini didakwa menjadi dalang letupan di Jolo  Filipina.

Jelas Argo, kejadian itu berlaku pada pukul 10.28 waktu tempatan ketika gereja itu dipenuhi dengan penganut Kristian.

Katanya, dua suspek pengebom tiba di gereja tersebut pada pukul 10.20 pagi dengan menaiki motosikal dan cuba memasuki premis, namun dihalang oleh pengawal keselamatan.

“Selepas itu, berlaku letupan kuat, menyebabkan beberapa kerosakan infrastruktur dan tubuh pengebom hancur berkecai,” katanya.

Ketua Polis Sulawesi Selatan, Merdisyam pula memberitahu media, seramai lima petugas gereja dan empat penganut merupakan antara yang cedera dalam insiden tersebut.

Dalam pada itu, kamera litar tertutup menunjukkan letupan tersebut menghasilkan api marak dan kepulan asap tebal, selain beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran gereja turut musnah.

Sehingga kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut dan polis menyiasat jika ia mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.

Pada 2018, kumpulan militan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) didakwa menjadi dalang serangan bom di beberapa gereja di Surabaya, menyebabkan lebih 30 orang terbunuh.

Sementara itu, Ketua Majlis Gereja Indonesia, Gomar Giltom menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘insiden yang sangat kejam’ dan menggesa agar orang ramai kekal tenang dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya