CHICAGO: Seramai dua orang terbunuh dan 13 yang lain cedera dalam kejadian tembakan di sebuah parti di Chicago South Side, awal pagi semalam .
Lapor AP, mangsa yang maut melibatkan seorang wanita berusia 30 tahun, Rayneesha Dotson yang ditembak di bahagian kepala, manakala, seorang lelaki berumur 39 tahun, Lionel Darling ditemui mati di dalam bilik belakang premis tersebut.
Kejadian itu dipercayai melibatkan sekumpulan geng yang berada di parti yang diadakan di syarikat tarik kereta.
Jurucakap polis, Jose Jara berkata, pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian pada pukul 4.40 pagi dan kesemua mangsa terlibat berumur dalam lingkungan 20 hingga 44 tahun.
Jelasnya, tujuh mangsa berada dalam keadaan kritikal dibawa ke hospital.
The Chicago Tribune melaporkan kelihatan belon berwarna merah dan hitam serta kasut di luar premis berkenaan selepas kejadin tembakan itu.
Siasatan awal mendapati kejadian tembakan itu melibatkan geng tertentu dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.
Sementara itu, Superintenden David Brown berkata, pihaknya menemui empat pistol di tempat kejadian.
“Kita tidak tahu sambutan apa yang diraikan dalam parti itu, kita masih berusaha mengenal pasti apakah motif di sebalik serangan tersebut,” jelasnya.
Untuk rekod, sepanjang tahun lalu lebih 760 orang terbunuh di Chicago sekali gus menjadikan bandar itu sebagai kawasan paling tinggi berlaku pembunuhan dalam tempoh 20 tahun.
Pihak polis mengenal pasti banyak kes pembunuhan itu disebabkan pertikaian yang berlaku antara geng di kawasan tersebut.