NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 19 lagi anggota polis Myanmar memasuki sempadan India bagi ‘melepaskan diri’ daripada junta yang ketika ini semakin agresif menentang penunjuk perasaan.
Polis India memaklumkan mereka menjangkakan lebih ramai anggota polis negara itu bakal memasuki negara ini dalam tempoh terdekat.
Kesemua anggota polis itu memasuki daerah Champai dan Serchip di negeri Mizoram.
Mereka merupakan anggota polis berpangkat rendah dan tidak bersenjata ketika memasuki negara ini.
Terdahulu, tiga anggota polis Myanmar berpaling tadah dengan melarikan diri ke Mizoram bagi mendapatkan perlindungan suaka kerana tidak mahu terlibat dalam rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera negara itu.
Jurucakap polis daerah Serchip, Stephen Lalrinawma memberitahu, ketiga-tiga anggota polis itu memasuki sempadan India berhampiran pekan Vanlaiphai Utara tengah hari semalam.
Katanya, keadaan mereka kini dipantau oleh pasukan perubatan.
“Tiga anggota polis itu memberitahu mereka ‘tidak mampu melaksanakan’ arahan yang dikeluarkan oleh junta tentera terhadap penunjuk perasaan dan itu menjadi punca mereka melarikan diri.
“Mereka ingin mendapatkan perlindungan di sini kerana tidak tahan dengan pentadbiran ketenteraan di Myanmar,” katanya. – AFP