NEW YORK: Apabila sebut sahaja tentang makanan segera, sudah pasti ramai yang jatuh cinta dengan McDonald’s.
Namun, video TikTok yang dimuat naik oleh seorang wanita dari Amerika Syarikat, Savannah Whitehead pasti membuatkan anda terfikir banyak kali untuk memesan makanan di restoran kesukaan ramai itu.
Lapor The Mirror, Savannah menyimpan cheeseburger dan sepeket kentang goreng sejak 17 tahun lalu dan mendapati teksturnya masih elok seperti biasa.
Dia membeli makanan itu sejak 2004 dan menyimpannya untuk melihat apa akan terjadi selepas beberapa tahun.
Selepas dia membuka bungkusan burger itu, roti itu kelihatan agak keras untuk dibuka dan mendapati isi daging di dalamnya masih dalam keadaan baik.
Hanya keju yang terdapat pada burger itu sahaja sudah berubah bentuk dan kelihatan seperti mentega kacang.
Video TikTok yang tular dengan mendapat tontonan 700,000 pengguna itu mengundang pelbagai reaksi.
Terdapat pengguna yang tidak serik untuk makan di McDonald’s kerana ada yang menjelaskan makanan itu masih elok terpelihara disebabkan jumlah garam yang digunakan dalam makanan itu.
Sementara itu, laman web McDonald’s di AS menjelaskan mengenai makanan yang tidak terurai itu.
“Di persekitaran yang betul, burger kami seperti kebanyakan makanan lain, dapat terurai. Namun, proses penguraian itu memerlukan syarat-syarat tertentu khususnya kelembapan.
“Tanpa kelembapan yang mencukupi baik dalam makanan itu sendiri atau persekitaran, bakteria mungkin tidak tumbuh dan oleh itu, penguraian tidak mungkin berlaku. Jika makanan menjadi kering, tidak mungkin tumbuh bakteria atau terurai.
“Makanan yang disediakan di rumah yang dibiarkan kering boleh melihat hasil yang serupa. Lihatlah dengan teliti, burger yang anda lihat kemungkinan kering dan sama sekali tidak sama semasa hari yang dibeli.
“Hakikatnya, burger kami dibuat hanya dengan daging lembu yang diperiksa 100 peratus oleh USDA. Tiada bahan pengawet dalam roti kami dan satu-satunya bahan yang ditambah adalah sentuhan garam dan lada ketika dipanggang,” jelasnya.