LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh di selatan California selepas sebuah kenderaan sarat penumpang bertembung dengan trak besar yang menyebabkan situasi panik berdekatan sempadan Mexico.
Pihak berkuasa dari Pusat Perubatan Wilayah El Centro, Judy Cruz berkata, kemalangan itu melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) membawa lebih 24 orang termasuk trak yang membawa batu kerikil di El Centro, California.
Kemalangan berlaku apabila kenderaan SUV itu memasuki persimpangan di hadapan trak itu, namun tidak dapat dipastikan sama ada kenderaan yang lebih kecil itu berhenti di simbol berhenti.
Katanya, belum dapat dipastikan sama ada penumpang itu adalah golongan migran kerana jalan raya itu sering digunakan pendatang Mexico dan pekerja ladang yang menuju ke Pusat Pertanian California yang terletak di belah utara.
Pegawai Ronda Lebuh Raya California, Omar Watson berkata, masih terlalu awal untuk pihak penyiasat memutuskan apa yang dilakukan mangsa dan dari mana mereka datang.
Jelasnya, jumlah mangsa terlibat ialah seramai 25 orang termasuk pemandu yang menaiki SUV semasa kemalangan tersebut.
“Kemalangan melibatkan 12 kematian di tempat kejadian dengan seorang mati di hospital sekali gus menjadikan jumlah mangsa adalah 13 orang,” katanya. -AFP