JAKARTA: Sebanyak 1.6 juta penduduk Indonesia sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 iaitu bertambah sebanyak 32,584 orang dari hari sebelumnya.
Lapor CNN Indonesia, berdasarkan data Pasukan Pencegahan Covid-19 Indonesia, sebanyak 982,370 dari 1.4 juta orang sudah menerima dos kedua vaksin Covid-19.
Antara golongan yang sudah menerima suntikan vaksin termasuk petugas perubatan dan pekerja sektor perkhidmatan awam.
Indonesia menyasarkan sebanyak 181 juta atau sekitar 70 peratus penduduk akan menerima vaksin bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dan seterusnya mengawal pandemik.
Kerajaan Indonesia sudah memulakan program vaksinasi Covid-19 tahap dua pada 17 Februari lalu dengan menyasarkan golongan peniaga, ulama, petugas media, guru dan atlet.
Selain itu, kerajaan juga memulakan program vaksinasi terhadap golongan warga emas yang merupakan antara penyumbang utama kematian akibat Covid-19 di negara ini.
Sementara itu, bagi mempercepatkan vaksinasi, Kementerian Kesihatan turut memperkenalkan program Vaksinasi Gotong Royong yang menyaksikan syarikat swasta mengendalikan suntikan vaksin terhadap majikan dan pekerja.