ECUADOR: Seorang wartawan penyiaran dan jurukamera di Ecuador berada dalam situasi cemas apabila diacukan senjata api oleh seorang perompak ketika melakukan acara lintas langsung.
Lapor Oddity Central, wartawan dari DirecTV Sports, Diego Ordinola sedang membuat lintas langsung di luar Stadium Isidro Romero Carbo Monumental, sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi besbol dan pelitup muka menghampirinya sambil mengacukan senjata api.
Penyerang bertopeng itu meminta telefon bimbit mereka berdua, sebelum dia berlari meninggalkan mangsa dalam keadaan terkejut.
“Kami tidak dapat bekerja secara tenang. Kejadian ini berlaku pada pukul 1 tengah hari di luar stadium,” katanya menerusi sebuah video.
Jurukamera selepas itu cuba mengikuti suspek dan sempat merakam lelaki itu sedang membonceng motosikal bersama rakannya.
Rakaman video itu kemudian tersebar dalam media sosial dan disaksikan oleh ratusan ribu di Twitter.
Ordinola berterima kasih kepada orang ramai yang membanjiri Twitternya dengan kata-kata semangat dan pihak polis berusaha menjejaki suspek.