JAKARTA: Seorang wanita yang dalam ketakutan bertindak merakam video secara langsung menerusi Facebook untuk meminta bantuan pasukan penyelamat memindahkannya dan keluarga ke tempat selamat ketika terkandas dalam banjir di Pamanukan, Subang.
Video itu menjadi tular dalam laman media sosial.
Lapor Tribunnews, Yulianti Safitri dari Kampung Baru Desa Mulyasari, Pamnukan, Subang meminta bantuan tersebut menerusi video secara langsung selepas terkandas di tingkat atas di rumahnya.
Yulianti dalam video itu turut mendakwa telah beberapa kali meminta bantuan namun belum menerima sebarang respon.
Wanita itu juga telah memberikan alamat dan maklumat lokasi rumahnya.
“Mohon pasukan penyelamat yang berada di Pamanukan terutamanya di Kampung Baru Desa Mulyasari berhampiran Masjid Miftahul Huda, tolong lah kami yang terkandas di sini.
“Lihatlah paras air yang naik mendadak yang boleh membahayakan nyawa. Tolong lah kami lima sekeluarga yang terkandas di sini, belum ada bantuan lagi,” katanya dengan nada hampir menangis dalam video tersebut.
Wanita itu menjadi cemas selepas paras air akibat banjir yang melanda kawasan perumahannya semakin tinggi.
Dalam pada itu, Yulianti turut meminta warganet yang menonton video tersebut untuk menyebarkannya.
“Tolong sebarkan video ini, saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kami berada di tingkat atas rumah dan sudah meminta bantuan tetapi masih belum menerima lagi,” katanya.