WASHINGTON: Anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Ron Wright maut selepas disahkan positif Covid-19 bulan lalu, sekali gus menjadikan beliau sebagai anggota pertama dalam Kongres yang mati akibat pandemik itu.
Wright berusia 67 tahun dari Parti Republik mewakili Texas, turut bertarung nyawa akibat kanser yang dialaminya.
Beliau dipilih dalam Kongres pada 2018 dan meyandang jawatan dalam portfolio Hal Ehwal Luar Negara, Pendidikan dan Jawatankuasa Kerja.
Berpuluh-puluh penggubal undang-undang dari Senat AS dan Dewan Perwakilan dijangkiti Covid-19 sejak tahun lalu.
Wright merupakan satu-satunya ahli Kongres yang tewas terhadap virus itu.
Tahun lalu, anggota Parti Republik dari Louisiana yang memenangi Pilihan Raya Kongres pada November, Luke Letlow, 41, mati akibat wabak itu sebelum beliau sempat mengangkat sumpah.
“Wright akan sentiasa dikenang sebagai seorang negarawan.
“Walaupun menderita akibat virus itu serta menjalani rawatan akibat kanser, dia sentiasa bersemangat ke tempat kerja, memberikan suntikan motivasi kepada orang sekeliling dan menawarkan nasihat sebagai seorang ayah,” kata kenyataan pejabatnya. -REUTERS