JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) akan memastikan program vaksinasi Covid-19 tetap berjalan lancar sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Katanya, penduduk beragama Islam yang berpuasa akan menerima suntikan vaksin selepas waktu berbuka.
“Kita tetap akan lakukan program vaksinasi dalam bulan puasa nanti dengan penduduk Islam akan menerima suntikan selepas waktu berbuka.
“Pada waktu siang pula, program vaksinasi akan dilakukan untuk penduduk bukan Islam,” katanya seperti yang dilaporkan Suara.com.
Beliau juga menyatakan sebanyak tujuh juta dos vaksin akan digunakan dalam program vaksinasi peringkat kedua yang bermula pada pertengahan bulan ini.
Jelas Jokowi, antara yang terlibat dalam peringkat kedua ini termasuk atlet, wartawan, para peniaga dan petugas sektor perkhidmatan.
“Pada peringkat kedua ini, kita akan sasarkan golongan yang banyak berikteraksi dengan orang awam iaitu petugas sektor perkhidmatan termasuk anggota polis dan tentera,” ujarnya.
Sementara itu, Jokowi turut memberitahu sebanyak 11 juta dos vaksin juga akan diterima pada awal Mac ini.