Vaksin Pfizer berkesan dalam dunia sebenar - Utusan Malaysia

Vaksin Pfizer berkesan dalam dunia sebenar

PERINTAH berkurung yang dilaksanakan di beberapa negara bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 mungkin dapat dihentikan semula sekiranya program vaksinasi berjalan lancar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Kajian terhadap situasi sebenar menunjukkan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan BioNTech berkesan mencegah penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat sehingga 94 peratus.

Keputusan itu secara tidak langsung memberi sinar kepada dunia untuk ‘bernafas kembali selepas tenat diancam pandemik Covid-19’.

Sehingga kini, kebanyakan data mengenai keberkesanan vaksin Covid-19 berada dalam keadaan terkawal berdasarkan ujian klinikal yang dilakukan.

Keadaan itu menimbulkan unsur ketidakpastian mengenai bagaimana hasil ujian diterjemahkan ke dalam dunia sebenar, sekali gus mencetuskan pelbagai persoalan yang sukar diramal.

Kajian yang dilakukan di Israel itu menunjukkan dua dos suntikan vaksin Pfizer mengurangkan kes jangkitan dengan gejala sehingga 94 peratus melibatkan pelbagai peringkat umur dan jenis penyakit.

Kajian yang melibatkan 1.2 juta orang itu juga menunjukkan satu dos vaksin berkesan sebanyak 57 peratus dalam melindungi individu daripada jangkitan Covid-19 selepas dua minggu menerima suntikan.

Data kajian tersebut diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England semalam.

Penyelidik kanan, Ran Balicer memberitahu Reuters mereka tidak menyangka hasil kajian menunjukkan vaksin tersebut berkesan dalam dunia nyata memandangkan populasi lebih tua dan menghidap penyakit kritikal berbanding ujian klinikal yang terkawal.

“Kajian yang dilakukan menunjukkan vaksin tersebut berkesan untuk semua peringkat usia dan juga pelbagai penyakit yang dihidapi penduduk,” katanya.

Selain itu, kajian tersebut menyatakan vaksin Pfizer-BioNTech berkesan mencegah varian baharu Covid-19 yang ditemukan di United Kingdom (UK).

Namun, kajian itu tidak memaklumkan bagaimana vaksin Pfizer boleh mencegah varian Covid-19 di Afrika Selatan.

Berita baik

Separuh daripada sembilan juta penduduk di Israel sudah pun menerima suntikan dos pertama dan satu per tiga daripadanya menerima kedua-dua dos sejak program vaksinasi bermula 19 Disember lalu.

Situasi itu menjadikan Israel sebagai ‘lokasi terbaik’ untuk menjalankan kajian dunia sebenar mengenai keupayaan vaksin Covid-19 dengan melibatkan kira-kira 600,000 penduduk yang sudah menerima vaksin.

“Hasil kajian ini adalah lebih baik daripada yang dijangka dan mengesahkan vaksin Pgizer adalah 90 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan Covid-19,” menurut pakar rundingan penyakit berjangkit Britain, Peter English.

Perubahan positif

Data terbaharu yang dikeluarkan oleh Institut Sains Weizmann menunjukkan penurunan kes jangkitan yang dramatik selepas kumpulan pertama iaitu golongan warga emas berusia atas 60 tahun menerima suntikan vaksin.

Selepas jumlah jangkitan menurun, Israel mula mengurangkan sekatan Covid-19 dan membuka semula pintu ekonomi termasuk premis perniagaan, sekolah dan pejabat.

Namun, ‘kemenangan’ yang dirasakan sekarang bukanlah bermakna pandemik Covid-19 sudah berakhir, malah perlu sentiasa diawasi bagi memastikan kes jangkitan terkawal.

“Ini bukanlah pengakhiran Covid-19. Keadaan hanya akan benar-benar selamat selepas golongan kanak-kanak juga menerima suntikan vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya